Thursday 28 February 2008

Samun berkumpulan naik 160%!



Kali ini BN menjanjikan 'Selamat, Aman Makmur', namun dalam manifesto sebelum ini, isu-isu undang-undang dan ketenteraman telah gagal ditangani kerajaan pimpinan BN.


Catatan di bawah dipetik daripada Malaysiakini.

Dalam manisfesto 2004, dengan tema 'Cemerlang Gemilang Terbilang', di bawah sub tajuk 'Undang-undang dan ketenteraman' BN menjanjikan:


  • Mendukung Perlembagaan dan undang-undang bagi menjamin keselamatan negara dan keamanan.


  • Menjamin kebebasan kehakiman dan memperuntukkan infrastruktur moden untuk membantu pentadbiran kehakiman.


  • Membaiki tahap keselamatan peribadi untuk setiap individu


  • Menambahbaik kecekapan dan integriti pasukan polis melalui Suruhanjaya Khas yang bebas untuk Polis
Namun apa yang terjadi selepas itu, kes jenayah meningkat banyak. Daripada 156,455 kes pada tahun 2004, angka indeks jenayah yang dikeluarkan pada tahun lepas mengejutkan negara dengan 224,298 kes direkodkan pada tahun 2007.

Dilaporkan juga tahun terdapat peningkatan dramatik 13.4% dalam jenayah ganas, dengan kes rogol meningkat 30% dan samun berkumpulan naik 160%.
Suruhanjaya Bebas untuk Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) juga masih belum dibentuk selepas cadangan daripada Suruhanjaya Polis pada Mei 2005. Sebaliknya, satu tindakan yang lebih lemah diambil, dengan pembentangan rang undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas di Parlimen yang bertujan memantau setiap agensi penguatkuasaan.

Hak yang dijamin Perlembagaan untuk kebebasan bersuara juga semakin terjejas teruk semenjak BN memenangi pilihan raya 2004. Selepas kenaikan minyak 30 sen, beberapa protes diadakan di ibu kota dan membawa kepada bantahan 'Ahad yang Berdarah', yang menyaksikan kecederaan dan tangkapan besar-besaran.

Ini diikuti dengan beberapa protes kenaikan sehingga 70 sen di lima lebuh raya.
Polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan sering digunakan dalam protes seumpama ini yang berjalan tanpa permit.

November tahun lalu, perarakan Bersih menyaksikan 40,000 orang turun ke jalan raya di Kuala Lumpur menuntut pilihan raya yang lebih adil. 29 orang ditangkap dan 17 didakwa kerana berkumpul secara haram.





Ini diikuti dengan protes Hindraf yang menarik 30,000 etnik India ke Kuala Lumpur untuk menuntut hak mereka. Protes ini membawa kepada penahanan 400 orang dan 39 daripadanya didakwa atas tuduhan berkumpul secara haram dan cubaan membunuh. Tuduhan cubaan membunuh bagaimanapun digugurkan, selepas bantahan orang ramai.

Lima daripada pemimpin Hindraf telah ditahan di bawah ISA selama dua tahun kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.

Pada 9 Disember tahun lalu, polis menahan lapan orang, termasuk lima peguam kerana berarak dari Sogo ke Pasar Seni sempena Hari Hak Asasi Sedunia.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Edmund Bon juga ditangkap kerana disyaki menghalang pihak berkuasa tempatan daripada menjalankan tugas mereka menanggalkan kain pemidang di luar pejabat Majlis Peguam.

Kebebasan kehakiman juga menarik perhatian apabila rakaman video VK Lingam dikeluarkan oleh Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September tahun lalu.

Video itu menunjukkan Lingam mengatur pelantikan hakim-hakim kanan dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Pendedahan itu membawa kepada perarakan 'Walk for Justice' anjuran Majlis Peguam yang menggesa Perdana Menteri supaya membentuk suruhanjaya siasatan diraja.

Suruhanjaya itu dengan bidang kuasa yang ketat berakhir pada 15 Februari dengan perbicaraan yang penuh dengan tuduhan besar dan lebih banyak hakim dikaitkan. Suruhanjaya itu bagaimanapun dikritik kerana mengehadkan siasatan kepada rakaman video itu dan bukannya keseluruhan badan kehakiman.

Komen: Selain beberapa langkah kosmetik, kerajaan tidak menunjukkan sikap bersungguh-sungguh untuk menyiasat kes-kes rasuah besar, termasuk yang melanda badan kehakiman.

No comments: