Sunday 24 February 2008

Profil Calon




Amirudin Shari ialah Naib Ketua, Angkatan Muda Keadilan. Penglibatannya dalam politik telah bermula semenjak zaman pengajiannya di Universiti Putra Malaysia.

Bapanya seorang pekebun kecil kelapa sawit, dan Amirudin sendiri selepas persekolahan pernah bekerja memetik buah sawit. Kehidupannya sebagai buruh masih tidak dapat dilupakannya dan terus membentuk pandangan politiknya sehingga kini.

Beliau menamatkan pengajiannya dalam bidang pembangun manusia di UPM pada tahun 2002, sebelum menyertai Radiqradio.com sebagai wartawan dan pentadbir.

Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Eksekutif di ibu pejabat Parti Keadilan Nasional sehingga tahun 2003.

Setahun kemudian Amirudin menyertai pertubuhan penyelidikan dan penerbitan yang mempunyai kaitan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Institut Kajian Dasar (IKD) sebagai Pengurus Program dan bertanggungjawab dalam penganjuran pelbagai forum dan seminar seliaan IKD.

Amirudin yang kini berusia 28 tahun, mula terlibat secara langsung dalam Angkatan Muda Keadilan pada tahun 2004 apabila dilantik sebagai ahli Exco pusat. Dalam Kongres Kebangsaan parti tahun lalu, beliau telah dipilih sebagai Naib Ketua.

Di Kuala Lumpur, pemimpin yang dilahirkan oleh arus Reformasi ini cukup giat menyampaikan ucapan di seminar-seminar dan forum anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Pemilihan beliau sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor, Batu Caves, merupakan satu penghormatan besar buat pengundi di sini, kerana sebagai antara calon termuda, kemampuan Amirudin telah terbukti baik dari segi aktiviti politik, sosial mahu pun kemasyarakatan.

Pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat percaya bahawa pengundi Batu Caves akan membuat keputusan yang bijak dan menghantar anak muda ini ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

No comments: