Friday 29 February 2008

Jadual Kempen (II)

Berikut adalah atur cara saudara Amirudin Shari bagi 1 Mac 2008

6.00 pagi - Solat Subuh di Surau Taman Jasa

10.00 pagi - Lawatan rumah ke rumah di kawasan Kg Melayu Batu Caves

1.00 tgh hari - Solat Zohor

4.00 ptg - Solat Asar di Surau Sg Kertas

4.45 ptg - Lawatan rumah ke rumah di Sg Kertas

7.00 mlm - Solat Maghrib & Isyak di Masjid Kg Laksamana

8.00 mlm - Ceramah Kg Laksamana

10.00 mlm - Ceramah di Padang Bola Taman Batu Caves

# Pertanyaan sila hubungi Sharudin (0146283881) atau Islam (0133509658)

Catatan kempen seminggu


Hari ini, masuk hari ke-7 kempen pilihanraya umum ke 12. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan menepati sasaran kempen yang direncanakan. Sepanjang seminggu ini program saya banyak menuju untuk menemui penduduk dari pintu ke pintu, rumah ke rumah dan kelompok masyarakat.

Politik perkauman Barisan Nasional jelas kelihatan dengan mengwar-war berita calon Parti Keadilan Rakyat adalah orang India, disamping ada calon bebas dari kaum melayu yang begitu mencurigakan latar belakangnya, menurut sebahagian orang - orang tua (disini). Semua ini digunakan untuk mengelirukan pengundi melayu Umno yang protes dan kurang senang dengan calon MIC.

Namun sejak beberapa bulan berkampung disini saya melihat isu rakyat adalah melampaui isu kaum. Jagarasah wakil rakyat terdahulu dari MIC bukan sahaja tidak begitu mempedulikan kawasan majoriti Melayu malahan kawasan perkampungan India juga tersisih dari pembelaan. Isu kemerdekaan rakyat setempat dalam hal pemilihan ketua komuniti dan organ komuniti seperti persatuan belia dan rumah ibadah begitu ketara di Batu Caves.

Oleh itu dalam kempen dan penerangan pilihanraya tema pembebasan masyarakat dari politik sempit kepartian ini adalah agenda besar yang saya akan dahulukan dan jelaskan.

Kira-kira 6 hari lagi hari berkempen, jalan masih jauh dan rintangan tak terduga boleh wujud. Kerja keras dan bijak masih banyak perlu dilakukan untuk menuju impian yang diharapkan

Thursday 28 February 2008

Samun berkumpulan naik 160%!



Kali ini BN menjanjikan 'Selamat, Aman Makmur', namun dalam manifesto sebelum ini, isu-isu undang-undang dan ketenteraman telah gagal ditangani kerajaan pimpinan BN.


Catatan di bawah dipetik daripada Malaysiakini.

Dalam manisfesto 2004, dengan tema 'Cemerlang Gemilang Terbilang', di bawah sub tajuk 'Undang-undang dan ketenteraman' BN menjanjikan:


  • Mendukung Perlembagaan dan undang-undang bagi menjamin keselamatan negara dan keamanan.


  • Menjamin kebebasan kehakiman dan memperuntukkan infrastruktur moden untuk membantu pentadbiran kehakiman.


  • Membaiki tahap keselamatan peribadi untuk setiap individu


  • Menambahbaik kecekapan dan integriti pasukan polis melalui Suruhanjaya Khas yang bebas untuk Polis
Namun apa yang terjadi selepas itu, kes jenayah meningkat banyak. Daripada 156,455 kes pada tahun 2004, angka indeks jenayah yang dikeluarkan pada tahun lepas mengejutkan negara dengan 224,298 kes direkodkan pada tahun 2007.

Dilaporkan juga tahun terdapat peningkatan dramatik 13.4% dalam jenayah ganas, dengan kes rogol meningkat 30% dan samun berkumpulan naik 160%.
Suruhanjaya Bebas untuk Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) juga masih belum dibentuk selepas cadangan daripada Suruhanjaya Polis pada Mei 2005. Sebaliknya, satu tindakan yang lebih lemah diambil, dengan pembentangan rang undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas di Parlimen yang bertujan memantau setiap agensi penguatkuasaan.

Hak yang dijamin Perlembagaan untuk kebebasan bersuara juga semakin terjejas teruk semenjak BN memenangi pilihan raya 2004. Selepas kenaikan minyak 30 sen, beberapa protes diadakan di ibu kota dan membawa kepada bantahan 'Ahad yang Berdarah', yang menyaksikan kecederaan dan tangkapan besar-besaran.

Ini diikuti dengan beberapa protes kenaikan sehingga 70 sen di lima lebuh raya.
Polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan sering digunakan dalam protes seumpama ini yang berjalan tanpa permit.

November tahun lalu, perarakan Bersih menyaksikan 40,000 orang turun ke jalan raya di Kuala Lumpur menuntut pilihan raya yang lebih adil. 29 orang ditangkap dan 17 didakwa kerana berkumpul secara haram.





Ini diikuti dengan protes Hindraf yang menarik 30,000 etnik India ke Kuala Lumpur untuk menuntut hak mereka. Protes ini membawa kepada penahanan 400 orang dan 39 daripadanya didakwa atas tuduhan berkumpul secara haram dan cubaan membunuh. Tuduhan cubaan membunuh bagaimanapun digugurkan, selepas bantahan orang ramai.

Lima daripada pemimpin Hindraf telah ditahan di bawah ISA selama dua tahun kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.

Pada 9 Disember tahun lalu, polis menahan lapan orang, termasuk lima peguam kerana berarak dari Sogo ke Pasar Seni sempena Hari Hak Asasi Sedunia.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Edmund Bon juga ditangkap kerana disyaki menghalang pihak berkuasa tempatan daripada menjalankan tugas mereka menanggalkan kain pemidang di luar pejabat Majlis Peguam.

Kebebasan kehakiman juga menarik perhatian apabila rakaman video VK Lingam dikeluarkan oleh Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September tahun lalu.

Video itu menunjukkan Lingam mengatur pelantikan hakim-hakim kanan dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Pendedahan itu membawa kepada perarakan 'Walk for Justice' anjuran Majlis Peguam yang menggesa Perdana Menteri supaya membentuk suruhanjaya siasatan diraja.

Suruhanjaya itu dengan bidang kuasa yang ketat berakhir pada 15 Februari dengan perbicaraan yang penuh dengan tuduhan besar dan lebih banyak hakim dikaitkan. Suruhanjaya itu bagaimanapun dikritik kerana mengehadkan siasatan kepada rakaman video itu dan bukannya keseluruhan badan kehakiman.

Komen: Selain beberapa langkah kosmetik, kerajaan tidak menunjukkan sikap bersungguh-sungguh untuk menyiasat kes-kes rasuah besar, termasuk yang melanda badan kehakiman.

Wednesday 27 February 2008

Jadual Kempen (1)




Berikut adalah jadual kempen Amir 28 hingga 29 Februari

28hb Febuari 2008

11pg-1tgh Lawatan rumah ke rumah Taman Jasa Utama

3ptg-5.30ptg Lawatan rumah ke rumah Taman Jasa Utama dan seterusnya solat Asar di Surau Taman Jasa Utama

6ptg- 7.00mlm Lawatan ke pasar malam Kampung Bendahara

7.30-8.00mlm Solat Maghrib dan beramah mesra dengan jemaah surau tanah gantian.

8.30mlm Solat Isyak Surau Kampung Laksamana

9.30mlm Ceramah kelompok di Markas PAS Kampung Nakhoda

10.30mlm Ceramah umum di bilik gerakan Taman Selayang.

29hb Febuari 2008

10.00pg -1ptg Lawatan rumah ke rumah di kawasan Amaniah dan Kampung Melayu Batu Caves

1ptg-2.15ptg Solat Jumaat di Masjid Amaniah.

4.30ptg Solat Asar dan beramah mesra dengan jemaah Masjid Kampung Nakhoda

5.30ptg Lawatan ke pasar malam di pinggiran Batu Caves.

7.30 mlm Solat Maghrib di surau Kampung Baru Batu Caves

Sunday 24 February 2008

3000 iringi calon PKR dan PAS

Sekurang-kurangnya 3000 orang menyertai perarakan dari Masjid Simpang Tiga Greenwood ke pusat penamaan calon di Sungai Pusu.
Bagi Parlimen Gombak, Naib Presiden KeADILan Azmin Ali ditentang oleh Said Anuar Said Ahmad dari BN manakala Di Dun Batu Caves, Calon KeADILan Amirudin Shari ditentang oleh T Mohan dari BN dan calon bebas Azmi Hussain.
Calon Pas bagi Dun Gombak Setia Dr Hasan Ali ditentang oleh Yuszahari Yusoff dari BN dan Shaari Sungib calon Pas bagi Dun Hulu Kelang ditentang Ahmad Bujang dari BN. - Suara Keadilan

Profil Calon




Amirudin Shari ialah Naib Ketua, Angkatan Muda Keadilan. Penglibatannya dalam politik telah bermula semenjak zaman pengajiannya di Universiti Putra Malaysia.

Bapanya seorang pekebun kecil kelapa sawit, dan Amirudin sendiri selepas persekolahan pernah bekerja memetik buah sawit. Kehidupannya sebagai buruh masih tidak dapat dilupakannya dan terus membentuk pandangan politiknya sehingga kini.

Beliau menamatkan pengajiannya dalam bidang pembangun manusia di UPM pada tahun 2002, sebelum menyertai Radiqradio.com sebagai wartawan dan pentadbir.

Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Eksekutif di ibu pejabat Parti Keadilan Nasional sehingga tahun 2003.

Setahun kemudian Amirudin menyertai pertubuhan penyelidikan dan penerbitan yang mempunyai kaitan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Institut Kajian Dasar (IKD) sebagai Pengurus Program dan bertanggungjawab dalam penganjuran pelbagai forum dan seminar seliaan IKD.

Amirudin yang kini berusia 28 tahun, mula terlibat secara langsung dalam Angkatan Muda Keadilan pada tahun 2004 apabila dilantik sebagai ahli Exco pusat. Dalam Kongres Kebangsaan parti tahun lalu, beliau telah dipilih sebagai Naib Ketua.

Di Kuala Lumpur, pemimpin yang dilahirkan oleh arus Reformasi ini cukup giat menyampaikan ucapan di seminar-seminar dan forum anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Pemilihan beliau sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor, Batu Caves, merupakan satu penghormatan besar buat pengundi di sini, kerana sebagai antara calon termuda, kemampuan Amirudin telah terbukti baik dari segi aktiviti politik, sosial mahu pun kemasyarakatan.

Pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat percaya bahawa pengundi Batu Caves akan membuat keputusan yang bijak dan menghantar anak muda ini ke Dewan Undangan Negeri Selangor.